LHDNM Buru Individu, Syarikat Gagal Kemuka Borang Nyata Cukai

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan memburu seramai 1,758 individu dan 1,687 syarikat dalam Op Patuh yang bermula serentak di 37 cawangan LHDNM bermula semalam.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDNM, Datuk Noor Azian Abdul Hamid berkata, mereka yang disenarai pendek ini dikesan melalui beberapa kriteria termasuk gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai melebihi tiga tahun taksiran.

Menurutnya, seramai 1,279 pegawai akan digerakkan untuk melakukan audit sepanjang lima hari operasi berlangsung.

“Op Patuh ini adalah sebahagian daripada aktiviti penguatkuasaan LHDNM bagi meningkatkan pematuhan cukai serta memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai tanggungjawab untuk mengistihar cukai pendapatan.

“Fokus operasi kali ini melibatkan aktiviti Audit Luar dan Audit Meja bagi kategori pembayar cukai syarikat dan pembayar cukai individu yang mempunyai pendapatan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Kunjungan Mesra Hasil Berfokus Peringkat Nasional Bilangan 4/2017 Op Patuh di LHDNM Cawangan Kota Bharu.

Noor Azian berkata, selain menjalankan Audit Luar dan Audit Meja, pihaknya turut melakukan siasatan cukai terhadap beberapa pembayar cukai yang dipercayai melakukan pengelakan cukai.

“Bersempena Op Patuh ini, satu operasi siasatan cukai telah dilaksanakan ke atas sebuah kumpulan syarikat yang didapati telah gagal mengemukakan borang nyata pendapatan sejak tahun 2010 sehingga 2016.

“Anggaran cukai yang ditaksir gagal diistiharkan oleh kumpulan syarikat ini adalah sebanyak RM20 juta,” katanya.

Tambahnya, kes kumpulan syarikat berkenaan adalah salah satu hasil kerjasama strategik di antara LHDNM dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam usaha menangani ketirisan cukai. – 17 Julai 2017.