ADUN Lenggeng Meninggal Dunia

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Ishak Ismail meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Tengku Ampuan Najihah di Kuala Pilah kira-kira pukul 11.25 malam tadi.

Setiausaha UMNO Negeri Sembilan, Datuk Hasim Rusdi berkata, Ishak dikatakan pengsan ketika menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Adun Seri Menanti, Datuk Abdul Samad Ibrahim di Seri Menanti.

Beliau kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk rawatan lanjut.

“Jenazah sekarang sedang jalani bedah siasat dan akan dibawa balik ke rumahnya di Taman Rashidah Utama, Seremban dan dijangka dikebumikan selepas solat Zohor,” katanya.

Ishak yang berasal dari Kampong Pantai, Seremban berusia 66 tahun meninggalkan isteri Datin Norimah Ujang dan empat orang anak.

Beliau dipilih sebagai wakil rakyat Lenggeng selama empat penggal sejak pilihan raya umum 1995. – 19 Julai 2017.