Sebat Terbuka: Mahkamah Tentukan Lokasi

Lokasi hukuman sebat tempat terbuka akan ditentukan oleh Mahkamah Syariah dan kerajaan negeri tidak akan campur tangan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, istilah tempat terbuka bukan bermaksud ia mesti dijalankan di tempat awam seperti stadium.

“Kita tidak akan campur tangan, selain penjara mahkamah yang akan tentukan tempat terbuka yang sesuai.

“Terdapat perbezaan antara istilah tempat terbuka dengan ‘in public’, ini yang selalu orang keliru.

“Kita jalankan secara terbuka kerana itu yang disebut dalam kitab dan pandangan ulama, kita juga mahu tunjukkan kepada masyarakat perbezaan antara hukuman sebat sivil dan syariah,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 11 Julai lalu sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang membolehkan hukuman sebat terhadap pesalah dijalankan di tempat terbuka. – 19 Julai 2017.