Ketepikan Sentimen Parti

Kerajaan PAS Kelantan seharusnya mengetepikan sentimen kepartian dengan memberi kerjasama penuh kepada kerajaan persekutuan untuk memperluaskan kawasan Felcra di negeri itu.

Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, kerajaan persekutuan memerlukan tanah seluas 5,658 hektar bagi membolehkan negeri itu diiktiraf sebagai wilayah Felcra Kelantan.

Menurutnya, Felcra Kelantan hanya mempunyai keluasan tanah berjumlah 4,342 hektar di seluruh negeri setakat ini.

“Jika kerajaan negeri bekerjasama dengan kita, saya percaya keluasan sebanyak 10,000 hektar bagi membolehkan Felcra Kelantan diiktiraf sebagai wilayah akan dapat dicapai.

“Saya harap Kerajaan PAS Kelantan dapat bertolak ansur dan memberikan kerjasama kepada Felcra untuk memperluaskan lagi projek ini demi kepentingan rakyat,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Insuran Banjir kepada warga Felcra Kelantan dan Rumah Terbuka Aidilfitri di Bukit Tandak, Rantau Panjang hari ini.

Ahmad Jazlan memberitahu, sudah tiba masanya Kerajaan PAS Kelantan mengetepikan ego dan bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk memajukan negeri itu. – 20 Julai 2017.