Team Dato’ Pa – Kemudi FC Bakal Berentap Di Stadium Mini Ketereh Malam Esok

Pasukan bola sepak Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi FC), mendapat suntikan semangat menjelang aksi persahabatan menentang Pasukan Pilihan Dato’ Pa Jumaat ini apabila menerima tajaan jersi daripada Rizal Char Kuey Teow dalam satu majlis ringkas yang diadakan di gelanggang Futsal Tiong malam tadi.

Pada majlis tersebut, pengasas Rizal Char Kuey Teow, Nazri Husin menyerahkan set jersi berkenaan kepada Presiden Kemudi, Mohd. Zailani Abdul Rahman.

Turut hadir pada majlis itu, Pengurus Kemudi FC, Mohd. Hafiz Abd. Mutalib, timbalannya, Chia Lin dan seluruh barisan pemain pasukan tersebut.

Mohd. Zailani berkata, Kemudi FC berada dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Pasukan Pilihan Dato’ Pa Jumaat ini.

Beliau berkata, pihaknya juga mengucapkan terima kasih kepada Rizal Char Kuey Teow kerana bekerjasama menaja jersi kepada pasukan.

“Perlawanan persahabatan nanti adalah bagi mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli dan juga masyarakat serta organisasi politik di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Sementara itu, Nazri berkata, dia berharap Kemudi FC dapat mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan nanti.

Dalam masa sama ujarnya, pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan Kemudi pada masa-masa akan datang.

“Saya menyokong program ini yang dilihat mampu mengeratkan hubungan antara media dan masyarakat,” katanya

Kemudi FC yang dibarisi wartawan dan petugas media dari seluruh negeri Kelantan bakal menentang Pasukan Pilihan Dato’ Pa di Stadium Mini Ketereh, malam Jumaat ini. – 20 Julai 2017.