20,000 Rakyat Kelantan Sambut TPM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disambut oleh lebih 20,000 rakyat pelbagai peringkat dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Orghe Parlimen Terre (OPT) yang diadakan di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di Ketereh hari ini.

Ketibaan Timbalan Perdana Menteri diiringi 1,000 anak muda yang berkonvoi dengan membawa bendera dan panji-panji bersama 30 motosikal berkuasa tinggi dan 500 motosikal lain.

 

Beliau yang diiringi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Penerangan UMNO Malaysia merangkap Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, kemudiannya diarak masuk ke Kompleks YKK sebagai Pahlawan Melayu.

Perarakan itu didahului pahlawan yang membawa senaskah al-Quran 30 juzuk tulisan tangan; keris Melayu lama dan 100 orang pembawa pulut semangat.

Hadir sama, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Yahya Mamat.

Majlis dimulakan dengan alunan salawat daripada para hadirin diikuti bacaan doa serta ayat suci Al Quran sebelum pidato khas oleh Annuar.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid menyampaikan anugerah dan penghargaan kepada tokoh-tokoh berjasa dari Parlimen Ketereh dari 25 kategori termasuk pendidikan, agama, usahawan, budaya, perajurit, perubatan tradisional yang terdiri daripada pelbagai bangsa. – 21 Julai 2017.