Jangan Guna Agama Ikut Tafsiran Sendiri – Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan masyarakat agar tidak menggunakan agama mengikut tafsiran sendiri lebih-lebih lagi dalam berpolitik.

Berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Ketereh, di Ketereh hari ini beliau berkata, politik seharusnya digunakan untuk kepentingan agama kerana agama itu lebih tinggi darjatnya berbanding perkara-perkara lain.

“Itulah sebabnya, mengenai enakmen baru-baru ini (Enakmen Kanun Jenayah Syariah) saya ucapkan terima kasih kepada Ali Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang ada kerana memberi sokongan sebab dalam soal agama kita tidak boleh berbeza pendapat.

“Kita mesti bersetuju untuk bersetuju dan bersetuju untuk tidak bersetuju, kepentingan ummah dan Islam, yang baik kita berikan sokongan dan dokongan.

“Kita mempunyai agenda yang lebih besar untuk jaga agama kita, jaga bangsa kita tanpa ketepikan bangsa dan agama lain,” katanya di hadapan lebih 20,000 hadirin.

Ahmad Zahid meluangkan masa lebih dua jam bersama penduduk setempat dan kepimpinan UMNO negeri serta pusat yang hadir memeriahkan majlis tersebut. – 21 Julai 2017.