RM80 Juta Bina Rumah Generasi Kedua Felda, Kesedar

Kerajaan persekutuan memperuntukkan RM80 juta bagi membina 500 unit rumah untuk generasi kedua Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata, peruntukan tersebut merupakan baki daripada pembinaan 500 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang yang ditangguhkan buat sementara bagi memberi laluan pembinaan rumah generasi kedua Felda dan Kesedar.

“Lagipun kerajaan sudah menyiapkan 1,000 unit rumah PPR di bandar ini yang diagihkan kepada penduduk dan pembinaan baki 500 unit yang dijanjikan sebelum ini ditangguhkan sementara waktu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penutupan mesyuarat agung pertama Gabungan Generasi Kedua (G2K) Kesedar di Dewan Paloh 1, Gua Musang malam tadi.

Tengku Razaleigh, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, pembinaan rumah generasi kedua itu akan dimulakan sebaik semua urusan berkaitan selesai.

“Rumah generasi kedua ini berbentuk flat dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk lif.

“Ia menjadi keutamaan untuk diselesaikan dalam masa terdekat kerana mereka sudah sekian lama hidup menumpang bersama ibu bapa walaupun sudah berumah tangga,” katanya. – 21 Julai 2017.