Pilihan Dato’ Pa, Kemudi Sama Hebat

Aksi persahabatan bola sepak antara Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi FC) dengan Pasukan Pilihan Dato’ Pa di Stadium Mini Ketereh di sini malam tadi berakhir dengan keputusan seri 3-3.

Pada perlawanan tersebut, pasukan Pilihan Dato’ Pa terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi ketua pasukan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mudah merembat masuk bola seawal minit kelima.

Enam minit berselang, Kemudi FC berjaya menyamakan kedudukan menerusi pemain tengah mereka, Mohd. Fikhrie Zaib bagi mengikat kedudukan menjadi 1-1.

Aksi bertambah rancak selepas itu apabila Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub meletakkan pasukan Pilihan Dato’ Pa di hadapan dengan meledakan gol kedua pada minit ke-30.

Bersambung babak kedua, Kemudi FC mempamerkan kebangkitan dengan meledakkan dua jaringan pantas pada minit ke-50 dan 55 menerusi Azran Fitri Abdul Rahim dan Mohd. Firdaus Hassan.

Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, Datuk Rosmadi Ismail muncul penyelamat bagi Pasukan Pilihan Dato’ Pa apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-70 sekaligus mengikat kedudukan 3-3 sehingga berakhir perlawanan.

Keputusan tersebut membuktikan kedua-dua pasukan yang dibarisi oleh wartawan serta pemimpin-pemimpin politik dari seluruh negeri ini sama hebat. – 22 Julai 2017.