Beli Senjata Barat, Bunuh Sesama Sendiri, Jadikan Krisis Asia Barat Sebagai Iktibar

Masalah dan krisis yang melanda negara Asia Barat perlu dijadikan iktibar oleh seluruh umat Islam di Asia Tenggara dengan tidak mengikut pendekatan mereka.

Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, terdapat dalam kalangan masyarakat negara terbabit yang mempunyai semangat ‘terlampau’ tinggi sehingga mengambil pendekatan untuk berperang sahaja.

Bagaimanapun katanya, peperangan tersebut berlaku secara proksi atau sesama sendiri seperti di Syria, Yaman dan Libya.

“Kita menghadapi masalah pendekatan yang mana ada semangat terlampau tinggi, hendak berperang sahaja, tidak boleh adakan pilihan raya (katanya haram) tetapi akhirnya berperang sesama sendiri.

“Kita perang sesama sendiri, senjata beli dengan Barat, guna duit kita dan bunuh sesama sendiri. Adakah cerdik tindakan ini. Barat dapat duit dan kita mati. Ini yang berlaku di Asia Barat hari ini.

“Kita mengharapkan Asia Tenggara dilindungi oleh Allah. Dalam masa sama, ulama-ulama di Asia Tenggara mesti memahami perkembangan politik dan menyampaikan dakwah dengan berkesan,” katanya.

Sementara itu Abdul Hadi yang juga Presiden PAS berkata, umat Islam pada zaman ini berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk tentangan daripada pihak musuh yang cuba melemahkan Islam.

Katanya, umat Islam juga perlu sentiasa muhasabah dalam melakukan gerak kerja menegakkan Islam agar dapat mencapai kejayaan hebat sebagaimana pada zaman terdahulu.

“Pada zaman generasi awal Islam meskipun terpaksa berhadapan dengan masyarakat Jahiliyah yang paling keras, hidup dalam keadaan undang-undang rimba, keras hati seperti batu di padang pasir namun pada masa itu, kita masih dapat melembutkan mereka menerima Islam,” katanya. – 23 Julai 2017.