Berdiri Teguh Pada Pimpinan Setia

Kemenangan akan berada dalam tangan UMNO jika semua pihak berdiri teguh di belakang pimpinan yang setia kepada perjuangan parti.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, selagi pimpinan setia kepada paksi perjuangan selagi itulah ahli dan akar umbi perlu bekerja keras untuk menyokongnya menjalankan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

Beliau berkata, UMNO sebagai sebuah jamaah yang mempunyai kekuatan besar iaitu kerajaan memerlukan ahli yang setia dan tidak derhaka kepada perjuangan parti.

“Pemimpin jangan dibiarkan berseorangan, pemimpin takkan hebat tanpa kita semua, pemimpin takkan mampu jalankan tanggungjawab tanpa kita yang setia iaitu setia berpaksikan kepada perjuangan, bukan setia kepada individu.

“Saya adalah orang yang setia kepada (Tun) Dr. Mahathir selama beliau setia kepada UMNO, begitu juga saya setia kepada Tengku Razaleigh (Hamzah) dan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tetapi apabila mereka tidak setia kepada parti maka putuslah kesetiaan itu.

“Berbahagialah kerana kita dalam satu saf perjuangan yang menyempurnakan fardhu kifayah untuk membentuk kerajaan, melalui kerajaan yang kita bangunkan bersama kita dapat mengecapi nikmat kemerdekaan, nikmat Islam serta nikmat hidup pelbagai kaum,” katanya. – 23 Julai 2017.