Islamofobia Boleh Dihapuskan Jika Bukan Islam Berlapang Dada

Islamofobia dalam kalangan masyarakat bukan Islam boleh dihapuskan sekiranya golongan tersebut berlapang dada menerima ajaran Islam yang sebenarnya.

Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, umat Islam pada masa ini dilihat berdepan serangan berterusan oleh media barat yang memberikan gambaran negatif terhadap ajaran Islam sekaligus menakutkan masyarakat bukan Islam.

Katanya, sekiranya dibuat perbandingan, golongan selain Islam sebenarnya lebih ganas daripada Islam kerana mereka berkemampuan mencipta nuklear, senjata pemusnah serta pelbagai alatan lain yang boleh memusnahkan manusia seperti peristiwa di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun dahulu.

“Kita sedang menghadapi serangan media sehingga mereka berjaya menyebarkan Islamofobia, benci terhadap Islam tanpa peduli kepada ajaran Islam itu sendiri.

“Islamofobia ini boleh dihapuskan jika masyarakat bukan Islam dapat membuat perbandingan antara kekerasan yang pernah dilakukan oleh segelintir masyarakat Islam dengan gerakan pelampau,” katanya ketika berucap pada Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia) Kali Ke-4 di dataran Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Tambah Abdul Hadi yang juga Presiden PAS, umat Islam termasuk ulama perlu bermuhasabah diri bagi memperkasa perpaduan ummah yang semakin rapuh kerana pendekatan dakwah berbeza.

“Ulama generasi kini dilihat masih sibuk dengan masalah khilaf (perbezaan) dalam agama sehingga menyebabkan berlakunya pertembungan fahaman dan perbalahan.

“Hari ini, masalah khilafiah menyebabkan tok guru pondok berbalah mengenai beberapa perkara dalam amalan agama sedangkan masalah umat Islam yang lebih besar seperti dalam bidang politik dan ekonomi dilupakan,” katanya. – 23 Julai 2017.