PAS Letak Calon dDi Kerusi Wan Azizah

PAS akan meletakkan calonnya di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang disandang Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, parti itu dan PKR sudah putus jadi tidak ada masalah untuk mereka bertanding di mana-mana kawasan.

“PAS tidak terikat dengan sesiapa sekarang, jadi kita bebas dan terserah untuk kita bertanding di mana dan banyak mana kawasan. Kita lawan tetap lawan, menang kalah itu, perkara lain.

“Dulu kita ada persefahaman, perjanjian. Sekarang sudah tidak ada maka terserah pada kitalah. Sebelum ada PKR memang kerusi (Permatang Pauh) kita lawan UMNO,” katanya ketika ditemui selepas program kemuncak
Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia) Kali Ke-4 Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam tadi.

Minggu lalu, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad melancarkan jentera pilihan raya di Permatang Pauh dan memberitahu bahawa parti itu telah mula menggerakkan jenteranya di semua kawasan di seluruh negara.

Kesal dengan tindakan tersebut, Naib Presiden PKR, Tian Chua menyifatkan langkah yang diambil bekas sekutunya itu sebagai satu bentuk provokasi dan angkuh.

Untuk rekod, PKR menguasai kawasan Parlimen yang sinonim dengan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sejak Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU-10) pada tahun 1999. – 23 Julai 2017.