Perkasa Jadi Penentu Kemenangan Calon PRU-14 Di Kelantan

Undi seluruh ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) bakal menjadi penentu kepada kemenangan mana-mana calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di negeri Kelantan.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, pihaknya akan mengarahkan ahli pertubuhan itu mengundi calon yang dilihat betul-betul berkualiti dan berwibawa tanpa mengira mana-mana parti politik.

Katanya, langkah tersebut penting bagi mengelak rakyat di negeri itu memilih calon yang salah seterusnya tidak membawa sebarang kebaikkan kepada mereka pada masa depan.

“Sebagai contoh, di mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kita mempunyai 1,000 sehingga 2,000 ahli. Kita akan keluarkan senarai untuk ahli mengundi selepas melihat latar belakang, kualiti serta kelayakan calon bertanding.

“Tidak kira PAS, Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan, mana-mana calon yang dilihat berkualiti, kita akan memberikan sokongan. Kita tidak mahu lihat Kelantan masih di tahap sama meskipun negara sudah mencapai kemerdekaan hampir 60 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kongres Melayu Kelantan yang bertemakan ‘Bangkit Bertindak Demi Kesejahteraan Rakyat Bukan Kemewahan Pemimpin’ di Dewan Tengku Mahmod Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu.

Sementara itu, Ibrahim berkata, kongres Melayu Kelantan yang berlangsung itu cukup bersejarah dan mendapat sambutan luar biasa.

“Saya amat teruja dan kagum apabila melihat rakyat Kelantan mula sedar serta bangkit untuk melihat perubahan di negeri ini. Kita amat kesal, sehingga kini, Kelantan masih tidak ada perubahan walaupun mempunyai segala-galanya,” katanya. – 23 Julai 2017.