Iklim Ekonomi Lembab Memaksa Rakyat Berhijrah- Mustapa

UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan berusaha untuk membaiki keadaan ekonomi di Kelantan termasuk menyediakan peluang pekerjaan sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keadaan iklim ekonomi di negeri itu lembab sehingga memaksa rakyatnya berhijrah ke luar negeri.

Justeru katanya, pihaknya sedang merangka pelbagai kaedah bagi memastikan nasib rakyat termasuk golongan muda di negeri itu terbela seterusnya menjamin masa depan mereka.

“Kita akui kerajaan Kelantan telah gagal untuk mewujudkan iklim yang membolehkan sektor swasta berkembang dengan baik dan gagal mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Situasi itu menyebabkan rakyat Kelantan terpaksa berhijrah mencari peluang pekerjaan di luar. Pada masa ini, kita lihat rakyat ingin melihat perubahan ke arah lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Wisma Cakna di Wisma Persekutuan.

Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, kerajaan akan meneruskan perjuangan membela dan menjaga kepentingan Melayu serta bumiputera.

Dalam masa sama katanya, kerajaan juga tidak akan meminggirkan kaum lain dan ia terbukti dengan pelbagai kemudahan disalurkan kepada mereka.

“Kita akan membuktikan bahawa tiada parti lain kecuali UMNO dan BN yang mampu memperjuangkan kepentingan mereka selama ini,” katanya. – 24 Julai 2017.