Kesedar Berhasrat Luaskan Wilayahnya

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) berhasrat memperluaskan lagi wilayahnya ke jajahan Machang dalam usaha membantu rakyat menerusi aktiviti pertanian.

Pengerusinya, Datuk Abd. Aziz Derashid berkata, Machang menjadi jajahan sesuai memandangkan ia berada dari luar kawasan agensi kerajaan seperti Lembaga Pertanian Kemubu (Kada).

Justeru, beliau berharap kerajaan PAS Kelantan dapat memberi kerjasama bagi memudahkan segala rancangan untuk dimanfaatkan kepada rakyat boleh dilaksanakan dengan lancar.

“Sebab itulah Kesedar mohon kerjasama Kerajaan PAS Kelantan memberikan tanah kepada kita untuk memajukan kawasan berkenaan.

“Begitu juga dengan sebahagian kawasan di jajahan Tanah Merah. Apa yang kita lakukan ini adalah bertujuan untuk bantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Aidilfitri Bersama Pengamal Media negeri ini di Hotel Perdana, malam tadi.

Sehingga kini keluasan wilayah Kesedar berjumlah 1.23 juta hektar. – 24 Julai 2017.