Kumpulan Pertama 160 Jemaah Haji Kelantan Berlepas Ke Mekah

Kumpulan pertama melibatkan 160 jemaah haji dari Kelantan berlepas ke Mekah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.50 pagi hari ini.

Terdahulu mereka menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 2.50 pagi.

Majlis keberangkatan mereka di Kompleks Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) Panji disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Pengarah Tabung Haji (Tabung Haji) negeri, Wahyudin Tamami berkata, sebaik sahaja tiba di KLIA, kesemua mereka bersama 307 jemaah lain yang menunggu di Kelana Jaya akan berlepas ke Madinah.

“Sebanyak 16 penerbangan membabitkan 3,200 jemaah haji di negeri ini akan berlepas menunaikan rukun Islam kelima itu bermula malam ini hingga 5 Ogos.

“Saya ingin menasihatkan kepada jemaah haji supaya menjaga kesihatan dan sentiasa mendengar arahan petugas Tabung Haji,” katanya ketika ditemui di sini awal pagi tadi.

Kesemua 32,000 jemaah haji Malaysia tahun ini akan berlepas ke tanah suci itu
secara berperingkat dengan penerbangan terakhir pada 24 Ogos depan. – 24 Julai 2017.