Polis, SPRM Kelantan Kerjasama Basmi Rasuah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menawarkan ganjaran kepada jabatan yang paling banyak melaporkan salah laku berkaitan rasuah.

Pengarahnya, Datuk Moh Samsudin Yusoff berkata, ganjaran tersebut merupakan inisiatif SPRM Kelantan dalam mengurangkan salah laku jenayah rasuah yang tidak bermoral di negeri itu.

“Bukan itu sahaja kita turut memperkenalkan ‘tagline’ ‘Tok sey rasuah, lapor rasuah’.

“Ini merupakan salah satu bentuk pendidikan yang diperkenalkan dalam usaha meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan masyarakat di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Dalam Kalangan Pegawai dan Anggota Polis Kontijen Kelantan hari ini.

Lebih 450 pegawai dan anggota Polis melafazkan ikrar tersebut yang diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Din Ahmad.

Sementara itu, Din memberitahu, polis Kelantan tidak akan berkompromi dengan pegawai dan anggota yang terlibat dengan rasuah.

“Ini terbukti apabila seramai lima pegawai dan anggota telah ditahan kerja selepas didapati terlibat dengan jenayah berkenaan pada tahun 2015,” katanya.

Beliau berkata, pada 2016 dan 2017 tiada pegawai dan anggota dikesan terlibat dengan rasuah namun, pihaknya akan terus menjalinkan kerjasama dengan SPRM bagi memastikan anggota tidak terjebak dengan gejala itu.

“Sebab itu, hari ini kita melafazkan ikrar bebas rasuah dalam kalangan anggota. InsyaAllah ikrar tersebut kita akan terjemahkan menerusi statistik selepas ini,” katanya. – 24 Julai 2017.