Pemuda Harapan Sasar Sejuta Peluang Kerja?

Bukan sahaja belum berpengalaman memerintah negara, bahkan digelar sebagai parti serpihan namun, Pemuda PAN tampil menunjukkan kebijaksanaannya dengan berjanji menyasarkan sejuta peluang pekerjaan pelbagai sektor kepada golongan belia.

Sasaran itu akan direalisasikan dalam tempoh lima tahun pertama sekiranya Pakatan Harapan berjaya memerintah negara.

Sama ada ia satu retorik atau realiti, bayangan mengenainya telah disuarakan oleh Timbalan Ketua Pemuda PAN Nasional, Faiz Fadzil dalam sidang akhbar Pemuda Harapan hari ini.

Beliau berkata, peluang pekerjaan berdasarkan model Ekonomi Insani itu akan memastikan upah yang adil dan saksama dengan persekitaran ekonomi semasa.

“Pemuda juga menekankan kepada aspek ekonomi penjagaan (care economy) bagi merangsang peluang pekerjaan di semua peringkat.

“Kami juga menawarkan gaji minimum RM1,500 kepada rakyat Malaysia jika Pakatan Harapan diberi mandat di Putrajaya selepas PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14) ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyifatkan kadar gaji minimum sedia ada tidak setimpal dengan kenaikan kos sara hidup masa kini.

“Bagi kami kadar (gaji minimum) pada masa ini berjumlah RM1,000 tidak mencukupi. Kami menawarkan kadar gaji minimum RM1,500 sebagai gaji yang munasabah untuk rakyat berhadapan dengan kenaikan harga barangan yang membebankan,” ujarnya.

Beliau mendakwa, kenaikan gaji di negara ini begitu rendah iaitu sekitar 2.3 peratus berbanding Indonesia (4.6 peratus), Thailand (3.5 peratus), Vietnam (5.6 peratus) dan Filipina (2.5 peratus). – 25 Julai 2017.