Tamparan Hebat Buat PKR

 

Ketika berucap kepada pemberita selepas malam kemuncak Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia) Kali Ke-4 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menegaskan parti itu akan bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang disandang, Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

PAS dilihat langsung tidak memberi muka kepada bekas sekutunya itu dan menyatakan pendirian turut akan bertanding di kerusi PKR di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Situasi tersebut membayangkan bahawa PAS sememangnya tidak mungkin lagi akan bekerjasama dengan PKR sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat ini selepas lebih awal memutuskan hubungan dengan DAP jauh sekali untuk bersama PAN yang disifatkan sebagai pengkhianat.

Pendirian PAS itu memberi tamparan hebat khususnya kepada PKR yang dilihat masih lunak dengan PAS khususnya di Selangor apabila Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih mengiktiraf Pakatan Rakyat di negeri tersebut.

Kenyataan tersebut mengundang rasa kurang senang dalam kalangan sekutunya khususnya DAP dan PAN dalam Pakatan Harapan.

PKR sememangnya dilihat masih memerlukan PAS khususnya dari segi jentera mereka yang banyak membantu parti tersebut pada pilihan raya lalu.

Jesteru, Mohamed Azmin dilihat tidak berputus asa memujuk PAS untuk kembali bekerjasama meskipun parti itu sudah beberapa kali menetapkan pendirian bahawa sama sekali tidak akan menjalinkan hubungan dengan PKR.

Apakah kenyataan terbaharu Mohd. Amar itu (PAS akan meletakkan calon di kerusi Presiden PKR yang juga kawasan yang sinonim dengan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan membuatkan PKR membuka mata bahawa PAS sebenarnya sudah membuang mereka jauh-jauh.

Sama-sama kita nantikan….