Dapatkan Kebenaran Pihak Berkuasa Terlebih Dahulu – MB

Mana-mana pihak yang berhasrat untuk menjalankan aktiviti pertanian di atas tanah kerajaan negeri perlu mendapatkan kebenaran dan kelulusan awal daripada pihak berkuasa khususnya Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ).

Ia bagi mengelak pihak terbabit menanggung kerugian jika hasil pertanian mereka dimusnahkan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, konflik antara pengusaha tanah dan pihak berkuasa khususnya PTJ kemungkinan berlaku apabila tanaman itu terpaksa dimusnahkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan yang telah dirancang.

“Sepatutnya dapatkan kelulusan dahulu kerana jika penduduk tanam getah secara tak sah, kami tak tahu dan ia sekali gus mengganggu perancangan PTJ di sesetengah tempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Publisiti dan Penyertaan Awam, Draf Laporan Pemeriksaan Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040 di Kompleks Kota Darul Naim di hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan kira-kira 100 penduduk Kampung Peralla, Tanah Merah mendesak kerajaan negeri membatalkan hasrat menjadikan kawasan kebun getah seluas 250 hektar di kawasan milik kerajaan negeri sebagai tapak perlombongan emas.

Penduduk mendakwa kebun tersebut yang telah diusahakan sejak 2011 dengan bayaran premium RM18,000 bagi setiap 2.5 hektar kian terancam dengan kerja perlombongan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri mengambil perhatian terhadap perkara itu dan berjanji untuk menyiasat punca sebenar kejadian. – 26 Julai 2017.