PAS Punya Pertimbangan Sendiri Letak Calon

Keputusan PAS untuk meletakkan calon di semua kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bakal menyebabkan berlaku pertandingan tiga penjuru.

Namun, bagi parti itu, tindakan tersebut bukan untuk melawan pakatan pembangkang.

Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob berkata, PAS mempunyai pertimbangan tersendiri untuk meletakkan calon mereka bertanding.

“Kita tak lawan pembangkang tapi kita ada dasar sendiri. Kita meletakkan calon mengikut keputusan parti dan keputusan itu bukanlah bertujuan untuk memperkecilkan mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Publisiti dan Penyertaan Awam, Draf Laporan Pemeriksaan Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040 di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua semalam melahirkan rasa kesal terhadap PAS untuk meletakkan calon di kubu kuat pembangkang termasuk di kerusi DAP.

Pua mendakwa tindakan itu secara jelas memperlihatkan PAS ingin menewaskan pakatan pembangkang pada PRU14 supaya Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak terus kekal menjadi perdana menteri.

Dalam pada, itu Ahmad turut mencabar DAP meletakkan calon mereka untuk bertanding di kesemua kerusi di Kelantan.

“DAP nak letak semua calon mereka di Kelantan pun boleh,” katanya. – 26 Julai 2017.