KPDNKK, Tentera Kerjasama Banteras Penyeludupan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membenteras aktiviti penyeludupan di sempadan negara secara habis-habisan.

Ketua Seksyen Harta Intelek Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK Putrajaya, Rosli Ahmad berkata, kerjasama secara perkongsian bijak ini akan membantu pegawai penguatkuasa KPDNKK  melakukan pemantauan dan operasi yang merangkumi beberapa aspek.

Menurutnya, ini adalah salah satu kaedah berkesan dalam menangani isu-isu ketirisan dan penyelewengan barangan kawalan bersubsidi serta melindungi hak-hak pengguna.

“Antara skop kerjasama dengan ATM ialah latihan mengenai perundangan yang dikuatkuasakan oleh KPDNKK dan bantuan dari segi perkongsian maklumat perisikan.

“Selain itu, kita juga menjalinkan kerjasama dari segi kawalan di sempadan darat serta mendaftarkan anggota tentera sebagai keahlian Rakan KPDNKK untuk menyalurkan maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sesi Taklimat Penguatkuasa Perundangan Akta-Akta KPDNKK sempena Hari Pengajian Peringkat 8 Bridged di Kem Desa Pahlawan.

Hadir sama, Panglima 8 Bridged, Brig. Jen. Nazari Abd. Hadi dan Pengarah KPDNKK negeri, Datuk Ab. Ghani Harun.

Dalam pada itu, Rosli berkata, pihaknya menjalankan sesi taklimat kepada  anggota tentera bagi memberi pendedahan mengenai perundangan dan akta-akta yang melibatkan kepenggunaan serta bidang kuasa KPDNKK.

Sementara itu, Nazari berkata, pihaknya memyeru kepada semua warga 8 Bridged supaya mengambil peluang ini untuk meningkatkan fahaman masing-masing kerana ia melibatkan prosedur serta tindakan sewajarnya agar tidak terlanggar dengan akta sedia ada.

“Kita mengambil pendekatan ini untuk mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin untuk menangani kes penyeludupan di sempadan dan bekerja secara berkumpulan.

“Kerjasama ini turut memberi peluang kepada pegawai dan anggota kami untuk mendalami akta serta penguatkuasaan KPDNKK dalam  menjalankan tugas Operasi Merpati dan Wawasan dengan lebih efektif,” katanya. – 27 Julai 2017.