Lestarikan Kerjasama UMNO, PAS Dalam Isu Agama Dan Umat Islam

Bekas Exco Pemuda UMNO, Datuk Wan Azizi Wan Mohamed berpendapat, kerjasama PAS dan UMNO melibatkan isu agama dan umat Islam perlu dilestarikan dengan lebih berhemah dalam mendepani isu-isu semasa.

Katanya, kedua-dua parti itu perlu menyelesaikan isu-isu dalaman bagi memastikan kelangsungan politik mereka dapat berjalan lancar tanpa sebarang anasir negatif.

“Apa yang penting adalah nilai-nilai Islam dan perjuangan Melayu perlu diteruskan bagi memastikan semangat perlembagaan dan kenegaraan dapat diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, memetik laporan sebuah portal berita online beliau berkata, PAS kini dilihat lebih tegas dan konsisten apabila menyuarakan keputusan mereka untuk bertanding di kerusi milik PKR.

Katanya, parti itu mula menyedari akan kekuatan yang ada pada mereka untuk menewaskan bekas sekutunya PKR, pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kekuatan terbina pada hari ini akan menundukkan keresahan dan kebimbangan sering dimainkan oleh PKR dan DAP apabila berdepan dengan PAS.

“Bagaimanapun, PAS juga perlu menyedari dan memahami pengundi masa kini dalam memastikan mereka dapat menewaskan PKR dan DAP di kerusi tradisi mereka,” katanya. – 27 Julai 2017.