‘Memalukan’ – Khalid

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, insiden antara pemuda UMNO dan sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Selasa lalu adalah memalukan.

Katanya, mereka yang terlibat semuanya sudah dewasa sepatutnya menunjukkan sikap kedewasaan masing-masing.

“Kita ini orang dewasa, bukan budak-budak lagi. Kita perlu menunjukkan kedewasaan kita.

“Terlibat dengan perkara-perkara macam itu memalukanlah,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman hari ini.

Selasa lalu, Pemuda UMNO dan Pemuda PPBM bertembung di hadapan pusat membeli-belah Sunway Putra menuju ke PWTC, ketika mahu menghantar jemputan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghadiri forum Nothing To Hide 2.0 yang bakal diadakan pada bulan depan.

Forum tersebut akan disertai Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Seramai 11 orang disoal siasat polis berhubung insiden pada 24 Julai lalu apabila sayap pemuda kedua-dua parti menuduh masing-masing sebagai samseng selepas pertembungan berlaku. – 27 Julai 2017.