Maik Agih 90 Peratus Zakat

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) telah mengagihkan 90 peratus daripada lebih RM103 juta zakat yang dikutip pada tahun ini.

Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr. Nik Mohd. Azlan Abd. Hadi berkata, ia membabitkan peruntukan lebih RM92.76 juta yang telah dibelanjakan untuk manfaat semua kategori golongan asnaf.

Beliau berkata, hampir 59 peratus atau RM60.7 juta adalah agihan untuk asnaf fakir dan miskin yang merupakan peruntukan paling besar.

“Golongan kedua paling banyak kita belanja dan serahkan agihan zakat adalah kepada asnaf ‘fisabilillah’ yang mana fokus adalah bidang pendidikan.

“Pendidikan menjadi fokus kita kerana Maik yakin ia adalah alat untuk menghentikan putaran ganas kemiskinan dalam keluarga.

“Sudah banyak contoh kejayaan anak-anak golongan fakir miskin yang dibantu Maik termasuk menjadi sebahagian tenaga profesional kami sendiri,” katanya.

Pada majlis itu, Pengurus Besar Wilayah Timur Celcom Axiata Berhad, Norazri Daud telah menyerahkan zakat perniagaan syarikat bagi tahun kewangan 2016 berjumlah RM100,240.

Sementara itu, Nik Mohd. Azlan berkata, pihaknya telah menjalinkan kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk membuat kajian terperinci mengenai impak zakat yang telah diagihkan Maik kepada masyarakat dari dahulu hingga kini.

“Kita mengetahui ada kisah-kisah kejayaan golongan asnaf tetapi belum ada kajian dan dokumentasi terperinci dibuat.

“Kita berharap apa yang telah kita rancang dengan UiTM ini akan dapat dimulakan secepat mungkin,” katanya. – 28 Julai 2017.