PAS Kelantan Perlu Akui Kegagalannya

Kerajaan PAS Kelantan Perlu akui kegagalan mereka selama 27 tahun memerintah negeri itu sehingga menyebabkan penghijrahan luar biasa rakyanya mencari rezeki di perantauan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, kerajaan PAS Kelantan tidak perlu menyembunyi realiti sebenar kerana rakyat telah nampak dengan jelas situasi yang ada.

“Bagi saya kenyataan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang mengatakan negeri lain turut berlaku penghijrahan adalah tidak betul sama sekali.

“Rakyat Kelantan berhijrah kerana peluang kerja di negeri ini terhad. Di negeri lain mereka berhijrah kerana kepakaran dan situasi ini amat berbeza dengan Kelantan.

“Bagi saya, berhentilah daripada terus menipu rakyat Kelantan. Saya lihat PAS lebih berminat untuk bercakap dan berceramah daripada memikirkan soal pembangunan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chetok di Pasir Mas hari ini.

Pada majlis tersebut, Ibrahim yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada 200 penerima. – 28 Julai 2017.