TRW Diikat Tangan, Kaki

Kekalahan memalukan Kelantan 0-5 di tangan Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman semalam sememangnya sudah diduga kerana The Red Warrior (TRW) bermain dalam keadaan tangan dan kaki diikat.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, ramai pihak khususnya Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sememangnya ingin melihat Kelantan turun ke Liga Perdana musim depan.

“Kelantan kalah memang diduga kerana banyak pihak hendak Kelantan kalah. Tidak ada pasukan di Malaysia yang mana mata dipotong, beli pemain tidak dibenarkan daftar sehingga menyebabkan prestasi pasukan merosot.

“Pasukan ini pasukan cacat kerana FAM dan FMLLP hendak Kelantan yang OKU (orang kelainan upaya) bermain dengan pasukan yang mendapat segala bantuan, jadi kita terima kekalahan ini.

“Saya rasa mereka hendak Kelantan bermain di Liga Perdana dan nampaknya Kelantan menuju ke Liga Perdana secara paksa,” katanya ketika ditemui selepas Himpunan Usahawan Sabahat AIM Parlimen Ketereh di dewan Kolej Matrikulasi di Kota Bharu.

Dalam aksi Liga Super menentang Kedah di Stadium Darul Aman semalam Kelantan dimalukan skuad Helang Merah 0-5 sekaligus menyaksikan TRW terus tercicir mata dan berada dalam posisi tidak selamat untuk kekal dalam Liga Super musim depan.

Selepas melalui 18 perlawanan, Kelantan kini menduduki tangga ke lapan liga dengan memungut 17 mata berbeza hanya tiga mata dari pasukan yang berada di zon penyingkiran. – 27 Julai 2017.