Proses Pemilihan Tanah Bina Kompleks Tabung Haji Di Mekah Selesai Hujung Tahun Ini

Proses pemilihan tanah untuk pembinaan Kompleks Tabung Haji di Mekah dan Madinah dijangka selesai selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pada masa ini, beberapa bidang tanah sudah ditawarkan dan pihaknya sedang memilih yang terbaik.

Katanya, apa yang pasti pemilihan lokasi tersebut nanti adalah tempat berhampiran dengan jemaah menunaikan ibadat.

“Saya akan berangkat ke Mekah tidak lama lagi. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir sudah melihat lokasi tanah yang ditawarkan dan kami akan melihat sekali lagi sebelum membuat keputusan,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan bakal menjimatkan perbelanjaan ratusan juta setiap tahun dengan adanya kompleks berkenaan.

“Setiap tahun, kita membelanjakan ratusan juta membabitkan kos sewa penginapan untuk jemaah termasuk makanan dan sekiranya kita mempunyai aset sendiri, sudah tentu banyak wang berjaya dijimatkan.

“Selain itu, jemaah juga dapat menikmati lebih kemudahan dan boleh menunaikan ibadat seperti berada di negara sendiri,” katanya.

Tambahnya, pembinaan kompleks tersebut adalah impian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melihat jemaah haji lebih selesa.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana hasil ilham dan usahanya untuk mewujudkan sebuah bangunan sendiri di Mekah bagi memberi manfaat kepada rakyat Malaysia,” katanya. – 29 Julai 2017.