Harap Hukuman Lebih Berat

Keluarga Nur Zuliana Zaara Zulkifli menzahirkan rasa syukur apabila ibu tiri serta bapa kandung yang mendera kanak-kanak itu akhirnya mendapat pembalasan.

Ibu Nur Zuliana, Sana Abdul Malek berkata, dia gembira akhirnya keputusan kes tersebut diputuskan selepas dua tahun menanti.

Bagaimanapun katanya, dia berharap kedua-dua individu yang melakukan perbuatan kejam terhadap anaknya itu mendapat hukuman lebih berat.

“Saya rasa syukur hukuman sudah dijatuhkan kepada mereka dan ibu tiri yang mendera Yaya (Nur Zuliana) juga dikenakan penjara empat tahun.

“Biar mereka mendapat pembalasan di atas apa yang telah dilakukan kepada Yaya selama ini. Saya hendak tengok wanita itu dipenjara supaya dia merasai dengan apa yang telah dilakukan,” katanya.

Mahkamah Sesyen Pasir Mas semalam menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda sebanyak RM15,000 terhadap ibu tiri Yaya yang didapati bersalah atas dua pertuduhan mencederakan dan menganiaya kanak-kanak itu.

Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Rahayu Hassan, 26, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan kes berkenaan.

Selain itu, Dazuki turut memerintah bapa kandung Yaya, Zulkifli Che Othman, 41, didenda sebanyak RM12,000 selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengabaikan anaknya.

Sementara itu, Sana berkata, kehidupan Yaya kini semakin baik dan rasa trauma disebabkan kejadian itu juga semakin hilang.

“Yaya semakin baik dan kini gembira meneruskan persekolahan dalam darjah satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang,” katanya. – 31 Julai 2017.