RM554.5 Juta Laksana Projek Perumahan Kos Rendah

Kerajaan Pusat telah membelanjakan sebanyak RM554.5 juta bagi melaksanakan enam projek perumahan kos rendah di daerah Kota Bharu, Gua Musang, Jeli, Tanah Merah dan Machang.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan turut meluluskan dua lagi projek pembinaan rumah kos rendah iaitu di Ketereh dan Pasir Mas dengan melibatkan peruntukkan sebanyak RM87 juta.

“Pada masa ini, enam projek tersebut telah berjalan dengan PPR di Gua Musang telah siap, Kota Bharu dijangka siap September ini manakala di Ayer Lanas, Batang Merbau dan Machang dalam proses pembinaan,” katanya selepas meninjau status perlaksanaan PPR Kota Bharu.

Sementara itu Mustapa berkata, pembeli rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) hanya perlu membayar RM35,000 untuk setiap unit kediaman tersebut selepas Kerajaan Pusat memperuntukkan subsidi lebih RM150,000.

Katanya, kos pembinaan untuk setiap unit rumah tersebut ialah sebanyak RM188,600 bagaimanapun harga pasaran untuk kediaman yang sama dianggarkan antara RM200,000 sehingga RM300,000.

Katanya, kekurangan perumahan kos rendah di Kelantan merupakan isu besar apabila Kerajaan PAS Kelantan lebih fokus membina kondominium mewah yang harganya di luar kemampuan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah.

“Usaha kerajaan Pusat membina projek perumahan rendah ini dapat memenuhi sebahagian daripada permintaan. Kota Bharu khususnya kita dapati permintaan cukup tinggi.

“Kita juga akan meminta kerajan menambah pembinaan projek PPR di Kelantan. PPR yang dijual dengan harga rendah itu mampu membantu kebanyakkan rakyat di negeri itu. – 31 Julai 2017.