Exco Kelantan Kata Husam Tidak Layak Sentuh Ladang Rakyat

Kerajaan PAS Kelantan menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa sebagai membuka pekung sendiri apabila mendedahkan lima anak syarikat Ladang Rakyat mengalami kerugian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Bio Teknologi dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, Husam tidak layak untuk menyerang kerajaan apatah lagi menyentuh isu Ladang Rakyat kerana yang berlaku itu ketika beliau sendiri menjadi ahli lembaga pengarah.

“Barang kali dia sudah terlupa, perkara yang dia dedahkan ini berlaku semasa dia sebagai ahli lembaga pengarah sehinggalah jawatan digugurkan disebabkan banyak kali tidak menghadiri mesyuarat.

“Jadi tidak perlulah bercakap fasal ini. Lagi banyak benda dia ungkit lagi banyak keburukan diri sendiri dan ketidakbertanggungjawaban terhadap tugas didedahkan,” katanya memetik sebuah laporan portal berita online hari ini.

Pun demikian, Che Abdullah yang juga Ahli Lembaga Pengarah Pengurusan Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Kelantan tidak menafikan empat daripada lima syarikat telah ditutup.

Katanya, keputusan untuk menutup syarikat berkenaan dibuat setelah menimbang pelbagai hal.

Husam yang juga Penasihat PAN Kelantan mendakwa lima anak syarikat Ladang Rakyat yang diwujudkan Kerajaan PAS Kelantan mengalami kerugian teruk melebihi RM9 juta.

Empat daripada syarikat berkenaan iaitu Ladang Rakyat Aquafarm, Ladang Rakyat Tropical, Ladang Rakyat Agro Products dan Ladang Rakyat Herbs sudah ditutup. – 1 Ogos 2017.