Anggota Rela Maut Senapang Meletup Dengan Sendiri

Seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) maut akibat tertembak diri sendiri.

Kejadian berlaku di Kampung Kolam, Tok Uban, Pasir Mas kira-kira pukul 2.45 pagi hari ini ketika mangsa, Mohd. Rodin Hashim, 45,  menunggang motosikal.

Mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di leher.

Difahamkan, senapang patah yang diletakkan dalam raga motosikal meletup dengan sendiri menyebabkan pelurunya mengenai leher depan mangsa yang ketika itu menunggang motosikal bersama isterinya.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hasan ketika mengesahkan kejadian berkata, mangsa dalam perjalanan ke kawasan hutan tidak jauh dari rumahnya untuk aktiviti berburu.

“Siasatan awal mendapati mangsa mempunyai lesen senjata api yang sah. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat. – 2 Ogos 2017.