Belum Ada Wakil PKR Letak Jawatan – Mohd. Amar

Kelonggaran diberikan pucuk pimpinan PKR terhadap arahan supaya semua lantikan politik PKR dalam Kerajaan PAS Kelantan dilepaskan telah pun berakhir pada 31 Julai lalu.

Walau bagaimanapun, Kerajaan PAS Kelantan mengesahkan masih belum ada mana-mana wakil parti itu menyerahkan surat peletakan jawatan lantikan politik masing-masing.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, wakil PKR mungkin mempunyai sebab tersendiri kenapa mereka tidak mematuhi arahan dikeluarkan oleh pucuk pimpinan parti itu.

“Pendirian kita bagaimanapun masih sama, iaitu untuk terus beri ruang kepada lantikan politik memegang jawatan masing-masing.

“Paling tidak, kita harap wakil PKR sudi mengekalkan jawatan masing-masing sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan PAS Kelantan hari ini.

Pada 16 Mei lalu, Biro Politik PKR memutuskan supaya semua lantikan politik PKR dalam Kerajaan PAS Kelantan dilepaskan berkuatkuasa serta-merta.
Bagaimanapun, tidak ada sesiapa berbuat demikian.

Sementara itu, pada 9 Jun lalu, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, parti memberi kelonggaran dan menjangkakan kesemua lantikan politik berkenaan meletak jawatan masing-masing menjelang akhir Julai.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Amar yang juga Naib Presiden PAS memberitahu, pihaknya sedang giat mengenal pasti bakal calon yang akan bertanding mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Senarai panjang sudah ada, senarai pendek belum lagi. Sekarang kita sedang pantau dan kenal pasti calon-calon. Apabila hampir dengan pilihan raya barulah kita buat senarai pendek,” katanya. – 2 Ogos 2017.