KKMM Kenal Pasti 2,000 Akaun Palsu

Hampir 2,000 akaun media sosial palsu dikenal pasti, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Katanya, kira-kira 75 peratus daripadanya telah diambil tindakan termasuk sekatan dan penutupan akaun.

Menurutnya, bagi tempoh Januari tahun lepas hingga Jun tahun ini, sebanyak 221 kes melibatkan media baharu termasuk media sosial, laman sesawang dan blog telah disiasat, yang mana 19 kes telah dikenakan kompaun dan lima kes telah didakwa serta disabitkan kesalahan.

“Kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan dalam menangani gejala penularan kandungan serta berita palsu di platform media sosial, laman sesawang dan internet amnya.

“Untuk tindakan penutupan akaun, akaun-akaun palsu akan dilaporkan kepada pihak penyedia perkhidmatan media sosial yang kebanyakannya berada di luar negara seperti Facebook dan Twitter berdasarkan pelanggaran terma dan syarat yang ditetapkan oleh mereka sendiri,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Salleh menjawab soalan Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh (BN-Sabak Bernam) mengenai bilangan akaun media sosial palsu yang disiasat dan dikenal pasti serta tindakan penguatkuasaan dan undang-undang yang diambil bagi mengekang gejala penyebaran berita palsu dan fitnah.

Beliau berkata, siasatan dan tindakan yang diambil adalah berdasarkan undang-undang sedia ada iaitu Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1984, Akta Fitnah 1957 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98). – 3 Ogos 2017.