Polis Buru Dua Lelaki Samun Pasangan Kekasih

Polis memburu dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes samun menggunakan parang terhadap pasangan kekasih di Kampung Dalam Rhu, Tumpat Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Nik Azlan Nik Ibrahim berkata, kejadian berlaku ketika mangsa lelaki yang berasal dari Pasir Mas ke rumah teman wanitanya di kampung Dalam Rhu untuk mengambil barang.

“Tetapi belum sempat mangsa menghidupkan motosikal untuk pulang, dia didatangi dua lelaki dan salah seorangnya bersenjatakan parang yang dikenali sebagai Zuri.

“Suspek kemudian telah meminta wang berjumlah RM200 daripada mangsa tetapi tidak disedari oleh teman wanitanya yang telah masuk ke dalam rumah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Nik Azlan memberitahu, mangsa yang dalam ketakutan telah menyerahkan dompet dan telefonnya.

Katanya, suspek kemudiannya mengarahkan mangsa menelefon teman wanitanya supaya keluar kerana dia mahu lebih banyak wang.

“Sebaik remaja perempuan itu menghampiri teman lelakinya, Zuri yang bersenjatakan parang telah mengacukan senjata itu ke leher,” katanya. – 3 Ogos 2017.