PAN Ikut Zikir DAP Sehingga Kubur

PAS menyifatkan dakwaan kononnya parti itu bekerjasama dan menyokong UMNO adalah zikir ciptaan DAP yang dijaja oleh PAN bagi mengelirukan pelbagai pihak.

Dalam masa sama, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz turut menyindir PAN dengan mempersoalkan adakah parti itu akan berterusan mengikut zikir yang diajar DAP sehingga ke kubur.

“Mereka kata, PAS sudah sokong UMNO. Saya tanya, nak ratib zikir DAP ajar sampai ke kuburkah?.

“PAS sokong UMNO adalah zikir ciptaan DAP yang dibaja gembala oleh PAN. DAP beritahu PAN, masuk kubur nanti, kamu tuailah hasilnya,” katanya Nik Mohamad Abduhdalam status facebooknya.

Dalam masa sama, Mohd. Abduh berkata, tindakan sesetengah pihak yang cuba mencari kelemahan PAS telah memakan diri mereka sendiri apabila PAS terus berkembang dengan baik.

“Mereka kata, Kerajaan Kelantan lemah, saya tanya mana lemah dengan BN (Barisan Nasional)?. Mereka jawab jangan banding dengan BN tetapi dengan Pulau Pinang. Saya tanya, terpalit dengan rasuah itu kira gagah?.

“Mereka juga kata, kes rasuah di Pulau Pinang hanya jahat BN hendak lemahkan DAP. Saya tanya, mana jahat BN aniaya Kelantan atau Pulau Pinang?.

“Mereka kata, susah orang PAS ini degil. Saya tanya mana lebih baik daripada pekak macam kamu?,” katanya. – 4 Ogos 2017.