PKR Kelantan Ada Sebab Tertentu Tidak Lepas Jawatan

Seramai 75 wakil PKR Kelantan mempunyai sebab tertentu masih tidak melepaskan jawatan lantikan politik dalam Kerajaan PAS Kelantan meskipun telah mendapat arahan pucuk pimpinan parti.

Pengerusi PKR negeri, Ab. Aziz Ab. Kadir berkata, seluruh ahli parti sentiasa akur dengan Presiden, bagaimanapun dalam soal tersebut mereka perlu menyelesaikan terlebih dahulu beberapa masalah berbangkit.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak boleh menjelaskan masalah atau sebab kenapa mereka masih tidak melepaskan jawatan.

“Kita masih belum melepaskan jawatan (lantikan politik di Kelantan). Proses tersebut sebenarnya masih berjalan. Kita ada sebab tententu yang tidak boleh saya jelaskan,” katanya.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail memberi kelonggaran supaya kesemua lantikan politik berkenaan meletak jawatan masing-masing menjelang akhir Julai selepas kedua-dua parti itu memutuskan kerjasama politik di antara mereka pada Mei lalu.

Kelonggaran diberikan itu telah pun berakhir pada 31 Julai lalu, namun masih belum ada mana-mana wakil parti itu menyerahkan surat peletakan jawatan mereka.

Bagaimanapun Kerajaan PAS Kelantan memaklumkan akan terus memberi ruang kepada lantikan politik PKR di negeri itu memegang jawatan masing-masing sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini.

Pada 16 Mei lalu, Biro Politik PKR memutuskan supaya semua lantikan politik PKR dalam Kerajaan PAS Kelantan dilepaskan berkuatkuasa serta-merta. Bagaimanapun, tidak ada sesiapa berbuat demikian. – 4 Julai 2017.