Annuar Tidak Berhasrat Sambung Pengerusi Mara

Tan Sri Annuar Musa tidak berhasrat menyambung jawatan sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang bakal tamat pada 11 Ogos ini.

Menurut Annuar, beliau telah menyerah surat untuk tidak dilantik semula ke jawatan yang disandangnya selama empat tahun itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 Ogos lepas.

“Saya fikir masih ramai teman saya yang layak belum merasa untuk memegang jawatan berkenaan dan saya cadangkan Perdana Menteri memberi peluang kepada mereka untuk memegang jawatan tersebut.

“Bagi kepada orang lain untuk menyambung legasi ini dan saya bersyukur sepanjang Mara berada di bawah saya, tidak ada sebarang kontroversi yang berlaku serta keuntungan Mara meningkat… saya turut pertahankan perkara-perkara tertentu walaupun kadang kala saya tidak disukai oleh orang tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu malam tadi.

Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh dilantik sebagai pengerusi Mara pada 19 Julai 2013 dan khidmatnya itu disambung pada 12 Ogos 2015.

Bagaimanapun, beliau digantung sebagai pengerusi Mara pada 31 Januari lepas susulan isu penajaan UniKL dan dakwaan pelaburan Mara Berhad ke atas pasukan bola sepak Kelantan.

Sementara itu, menjawab soalan akan menerima jawatan itu jika dilantik semula, beliau berkata: “Najib perlu meneliti rekod tugas dilakukannya sepanjang menjawat jawatan itu”. – 5 Ogos 2017.