Fokus Perpaduan Dalaman

Perpaduan dalam kalangan ahli perlu diperkukuhkan bagi memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) nanti.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Senator Khairul Azwan Harun berkata, anggota pergerakan pemuda wajib memberi fokus terhadap perpaduan dalaman sebagai agenda penting.

Menurutnya, perpaduan sesama sendiri adalah teras kekuatan parti selain menyalurkan perkhidmatan yang berterusan kepada rakyat.

“Kita perlu menjadi contoh. Bersatu dan jangan sesekali memikirkan soal pertandingan akan datang hanya untuk kedudukan mahupun kerusi pilihanraya.

“Tugas utama kita (Pemuda) memastikan pengundi muda berpihak kepada BN. Pendekatan berkesan perlu digerakkan demi keutuhan BN meneruskan kesinambungan menerajui pentadbiran negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bachok.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bachok, Che Samsuzuha Che Noh. – 5 Ogos 2017.