Pakatan Harapan Masih Mencari Identiti

Pakatan Harapan yang diketuai DAP dilihat masih mencari identiti kerana sehingga tempoh ini mereka masih tidak mempunyai persefahaman sesama sendiri.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penubuhan gabungan tersebut hanya untuk merealisasikan agenda politik masing-masing dengan mereka sanggup melakukan apa sahaja perkara sehingga boleh menggadaikan prinsip.

Dalam masa sama katanya, beliau juga percaya DAP tidak akan berkorban dengan memberi ruang kepada pemimpin lain menguasai pakatan tersebut.

“Saya nampak dalam enam bulan ini Pakatan Harapan sedang mencari identiti. Dapat disaksikan semua pemimpin kalau boleh hendak bercakap bagi pihak parti.

“Sehingga kini, kita tidak nampak mereka boleh berada dalam satu platform yang baik,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Mas.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat; Timbalannya, Che Johan Che Pa dan seluruh kepimpinan UMNO Bahagian tersebut.

Terdahulu ketika berucap, Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan percaya Pakatan Harapan akan berterusan mencari pelbagai helah untuk mengelirukan rakyat membenci UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Pembangkang akan cari sebaik mungkin helah dan menghasut rakyat menolak UMNO. Tetapi apa yang jelas, saya tidak nampak rakyat tolak UMNO,” katanya. – 5 Ogos 2017.