Pemimpin Sedia Ada, Muka Baharu Mantapkan UMNO Kelantan

Gabungan pemimpin sedia ada dan barisan baharu akan memperkuatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Kelantan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya telah mengenal pasti muka baharu tersebut untuk diketengahkan sebagai calon dalam pilihan raya nanti.

“Kita akan terbahagi kepada dua kumpulan iaitu pertama pemimpin sedia ada dan kedua barisan baharu. Barisan baharu ada yang kita sudah kenal pasti.

“Kita akan gabungkan dua kumpulan ini dalam memantapkan UMNO di Kelantan,” katanya selepas Perjumpaan khas bersama pemimpin akar umbi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mahmud Paduka 2, Tanah Merah hari ini.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hanafi Mamat, kepimpinan UMNO bahagian-bahagian negeri dan ketua-ketua jabatan.

Sementara itu Mustapa berkata, Gelombang Merah yang diperkenalkan UMNO negeri sejak pilihan raya lalu diakui masih berkesan untuk membangkitkan semangat rakyat melakukan perubahan dalam PRU-14 di Kelantan.

Katanya, pihaknya akan terus menghidupkan gelombang tersebut dengan mempergiatkan pelbagai program mendekati rakyat sehingga peringkat akar umbi. – 5 Ogos 2017.