Naik Taraf UiTM Kelantan

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan wajar dinaik taraf sebagai keutamaan dalam rancangan pembangunan pada masa depan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jumlah pelajar UiTM Kelantan Kampus Kota Bharu kini mencecah 1,800 manakala Kampus Machang 7,000 orang.

Beliau berkata, bilangan tersebut akan bertambah seiring dengan peranan UiTM Kelantan yang kini menjadi antara institusi pendidikan tinggi utama di negeri itu.

Dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sireh Pulang Ke Gagang Alumni UiTM Kelantan 2017 serta pelancaran Persatuan Alumni UiTM Kelantan malam tadi beliau berkata kampus Kota Bharu kini berkembang pesat.

“Ia mempunyai masa depan yang cukup cerah. Oleh sebab itu kita perlu berusaha menaik taraf kampus ini bagi memastikan ia mempunyai kelengkapan prasarana mencukupi.

“Kita harap kerajaan dapat mempertimbangkan perkara ini dan menjadikan usaha menaik taraf UiTM Kelantan terutama Kampus Kota Bharu sebagai keutamaan,” katanya. – 6 Ogos 2017.