Penduduk Dakwa Ladang Getah Diceroboh Syarikat Lombong Emas

Beberapa penduduk Kampung Sokor, Tanah Merah mendakwa beberapa syarikat perlombongan emas telah menceroboh ladang getah mereka di sekitar kawasan Bukit Cadang, Bukit Saujana dan Bukit Kandang Kerbau.

Difahamkan syarikat terbabit memusnahkan pokok getah mereka untuk melombong bahan mineral itu sejak dua bulan lepas.

Seorang penduduk, Mohd Roffi Seman, 53, memberitahu, sebelum ini syarikat berkenaan berjanji dengan penduduk terbabit akan membayar pampasan antara RM17 dan RM25 bagi sebatang pokok yang ditebang.

“Namun sehingga kini, selepas dua bulan pokok getah ditebang, peneroka masih belum terima sebarang pampasan daripada syarikat terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita.

Katanya, mereka pernah mengadakan perjumpaan dengan wakil daripada Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah bagi mendapatkan pengesahan berhubung aktiviti berkenaan.

“Kami dimaklumkan pihak jabatan tidak mengetahui dan meluluskan sebarang aktiviti perlombongan di kawasan tersebut.

“Oleh itu, kami meminta kerajaan negeri melakukan siasatan terperinci berhubung perkara berkenaan kerana ia telah menjejaskan satu-satunya sumber pendapatan penduduk,” katanya.

Bagi Hassan Mat Yusoff ,67, pula, dia sedih apabila sebahagian kebun getah diusahakannya musnah ditebang dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

“Jika pihak terbabit mahu membayar pampasan biarlah ia setimpal dengan kos, kerugian dan usaha yang saya telah curahkan selama ini,” katanya. – 6 Ogos 2017.