UMNO Ibarat ‘Rumah Kaca’

Ahli UMNO semua peringkat diseru menolak sesiapa sahaja bekas pemimpin parti itu yang mahu menghancurkan parti demi menjayakan cita-cita politik mereka.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keseluruhan anggota UMNO sama ada di peringkat cawangan, bahagian dan pusat perlu bangkit mempertahankan pemimpin yang telah dipilih untuk menerajui parti.

Katanya, UMNO ibarat sebagai sebuah rumah kaca yang kini sedang cuba dihancur dan dirobohkan oleh ‘bekas tuan rumah lama’.

“Ada yang mencanangkan UMNO ini sudah terlalu lama dan ibarat rumah kaca yang kacanya sendiri sudah kabur.… Memang benar kita telah lama, tetapi tiangnya masih lagi kukuh disebabkan dokongan dan sokongan anggota UMNO.

“Namun sekarang ini, timbul masalah kerana rumah kaca kita itu dinding dan tingkapnya dibaling dengan batu, dahulunya dari dalam rumah, namun sekarang apabila berada di luar, dia ambil batu yang lebih besar supaya dinding dan tingkap pecah serta membaling lembing dan tombak untuk merosakkan lantai rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Temerloh hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, sebagai anggota parti yang mendiami rumah kaca, mereka seharusnya bangkit mempertahankan ‘rumah’ itu daripada dimusnahkan terutama oleh bekas ‘tuan rumah lama’ yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan tuan rumah baru yang kini diterajui Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Dalam suasana inilah kita sebagai pahlawan dan hulubalang jangan berdiri di belakang, tetapi di sisi kiri dan kanan, di hadapan dan belakang pemimpin dan lawan siapa sahaja yang serang dengan lembing dan tombak.

“Itulah yang cuba saya lakukan kini, dalam suasana pemimpin kita (Najib) diserang bertalu-talu dan dibaling dengan najis kita hanya mampu hulurkan simpati… saya tidak sanggup melihat pemimpin saya ini dibaling dengan najis setiap waktu dan dibaling dengan tombak, dihunus dengan keris.

“Sebaliknya saya akan rampas balik tombak dan keris berkenaan dan baling balik pada orang yang terlibat kerana wala’ saya kepada pemimpin dan parti terutama kepada presiden parti,” katanya.

Beliau berkata, sebagai ‘tuan rumah baharu’, Najib telah melakukan pelbagai usaha untuk membaik pulih rumah kaca itu.

“Dan setiap anggota parti wajar bangkit untuk sama-sama membantu bagi memastikan rumah itu terus kukuh untuk didiami,” ujarnya. – 6 Ogos 2017.