Tidak Terpengaruh Fitnah Pembangkang

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim percaya seluruh ahli tidak akan terpengaruh dengan fitnah yang dilemparkan pembangkang khususnya terhadap kepemimpinan tertinggi parti itu.

Katanya, seluruh ahli UMNO diyakini akan sentiasa bersatu dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meskipun terdapat cubaan sesetengah pihak melaga-lagakan kedua-dua pemimpin tersebut.

“Rakyat tidak akan terpengaruh dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan terhadap kepimpinan khususnya daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Pada saat ini, kita mesti rapatkan saf dan fokus pada gerak kerja dalam menghadapi pilihan raya yang dijangka diadakan pada bila-bila masa. Pastikan BN mencapai kemenangan dan memerintah negara,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Tanah Merah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mahmud Paduka Raja 1.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Timbalannya, Mohd. Bakri Mustapha; Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian, Dayang Saniah Awang Hamid dan seluruh kepimpinan UMNO bahagian tersebut.

Terdahulu Abdul Azeez yang juga Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dan Ikmal Hisham diarak bersama seekor gajah ke pentas majlis tersebut. – 7 Ogos 2017.