ECRL Jadi ‘Game Changer’ Tiga Negeri Pantai Timur

Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) akan menjadi “game changer” kepada Pahang, Terengganu dan Kelantan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Semasa berucap merasmikan Forum Ekonomi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini Perdana Menteri itu berkata, ia dijangka memperoleh pertumbuhan ekonomi tambahan 1 hingga 1.5 peratus setiap tahun.

“Kini, anda dapat melihat mengapa kami (kerajaan) melakukannya dan istilah seperti yang anda tahu pinjaman jangka panjang yang kami terima dari China benar-benar kompetitif,” katanya.

Najib dijadual akan merasmikan projek ECRL esok.

Media sebelum ini melaporkan China akan menyediakan RM55 bilion dalam bentuk pinjaman mudah kepada Malaysia bagi rancangan pembinaan ECRL.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ECRL ialah satu daripada 16 memorandum persefahaman (MoU) kerajaan dengan kerajaan (G2G).

Najib berkata, Malaysia sentiasa mengamalkan dasar terbuka dan mengalu-alukan pelaburan asing tidak kira dari China, Jepun, India, Arab Saudi, Eropah atau Amerika Syarikat.

“Kita terbuka, mesra dan negara yang kondusif dari segi perniagaan dan disebabkan itu antara 2010 dan 2016, pelaburan langsung asing (FDI) yang mengalir ke Malaysia berkembang dengan purata RM30 bilion setahun.

“Ini adalah bukti kukuh kepada keyakinan negara asing yang ada di dalam negara kita dan ia merupakan rekod yang harus kita banggakan,” katanya.

Beliau berkata, China merupakan pelabur asing utama di Malaysia merentasi pelbagai sektor termasuk pembuatan, perkhidmatan, pelabuhan, kereta api, hartanah, pembinaan, pendidikan dan tenaga.

“Tahun ini, sembilan perjanjian perniagaan ditandatangani antara syarikat Malaysia dan China dengan cadangan pelaburan dianggarkan RM31.3 bilion.

“Ini adalah tambahan kepada 14 memorandum persefahaman yang berkaitan pertahanan, pertanian, pendidikan, kewangan dan pembinaan bernilai RM14.6 bilion yang ditandatangani pada 2 November 2016,” katanya.

Beliau berkata, komitmen pelaburan besar-besaran China menunjukkan hasil sebenar transformasi hubungan baik Malaysia dan China.

“China adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia, manakala Malaysia adalah 8 rakan dagang terbesar China dan yang ke-2 terbesar di Asean.

“Kami percaya inisiatif ‘China Belt and Road’ akan menjadi penukar permainan bagi ekonomi serantau, mewujudkan prospek perdagangan dan palaburan besar melalui darat dan laut,” katanya. – 8 Ogos 2017.