Gerakan Ateis Beri Kesan Negatif Pembangunan Belia

Kerajaan perlu bertindak terhadap kumpulan Ateis yang didakwa kian berleluasa di Kelantan sekarang ini.

Presiden Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK), Datuk Mohd. Faizal Daud berkata, selain didakwa boleh memesongkan akidah umat Islam, gerakan tersebut memberi kesan negatif kepada pembangunan belia negara.

“Remaja yang ada sekarang ini sangat mudah terjebak dengan perkara-perkara seperti ini. Mereka masih terlalu muda dan mentah untuk melihat jauh ke hadapan, dan tidak dapat menilai apa yang baik dan buruk

“Oleh itu kerajaan perlu bertindak awal bagi memastikan langkah kawalan dapat dibuat supaya dapat menyekat aktiviti tidak sihat melibatkan kumpulan-kumpulan seperti itu,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, badan bukan kerajaan (NGO) yang berkait rapat dengan remaja dan belia perlu memperbanyakkan aktiviti berkesan dalam membendung golongan itu daripada terjebak dengan gejala negatif.

Katanya, NGO terbabit boleh menganjurkan program keagamaan bagi memberi pendedahan kepada mereka supaya mendapat asas yang cukup, selain daripada didikan ibu bapa sendiri.

“Asas ini sangat penting bagi menjadi perisai kepada anasir-anasir negatif yang boleh memecahbelahkan kaum, agama dan bangsa itu sendiri,” katanya. – 8 Ogos 2017.