ECRL Pencetus Perubahan Malaysia

Projek Landasan Kereta api Pantai Timur (ECRL) merupakan pencetus perubahan dan haluan pemikiran bagi Malaysia kerana ia akan memendekkan masa perjalanan pergi dan balik ke pantai timur Semenanjung.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perjalanan kereta api dari Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan dijangka kurang daripada empat jam.

“Perjalanan sebelum ini mengambil masa purata lapan jam malahan hingga 12 jam atau lebih terutama semasa musim perayaan.

“ECRL menjadi medium pengangkutan pilihan yang lebih selesa sebaik ia siap dibina,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pecah tanah projek ECRL di tapak projek KotaSas Sentral hari ini.

Majlis tersebut turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri Majlis Negara China Wang Yang, Pengarah Eksekutif dan Pengerusi China Communications Construction Company Ltd (CCCC) Liu Qitao dan Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Hadir sama Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan tiga Menteri Besar negeri-negeri pantai timur Datuk Seri Adnan Yaakob (Pahang), Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (Terengganu) dan Datuk Ahmad Yakob (Kelantan).

Najib berkata, projek ECRL akan menentukan rentak kesan limpahan ekonomi dan impak sosial yang positif bagi negeri-negeri di pantai timur.

“Ia akan menjadi pemangkin bagi kesaksamaan ekonomi antara pantai barat dan pantai timur kerana akan turut merangsang pelaburan, menggalakkan kegiatan komersial, mewujudkan pekerjaan yang mencukupi, memudahkan pendidikan berkualiti dan merancakkan industri pelancongan di Pahang, Terengganu dan Kelantan,” katanya. – 9 Ogos 2017.