Kerajaan PAS Kelantan Nafi Tidak Beri Peruntukan Kepada Wakil PKR

Persoalan wakil PKR dalam kerajaan PAS Kelantan belum melepaskan jawatan masing-masing terjawab selepas Presidennya Datuk Seri Dr. Wan Azizah mendedahkan, mereka masih menunggu tunggakan bayaran yang sepatutnya dijelaskan kerajaan negeri.

Ini bererti kerajaan PAS Kelantan sebelum ini gagal melunaskan peruntukan yang sepatutnya kepada mereka terbabit.

Menurut Wan Azizah, semua ahli PKR yang dilantik itu menggunakan wang sendiri bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing.

“Sejak bersama kerajaan Kelantan, mereka menggunakan wang sendiri untuk peruntukan kepada rakyat, jadi sekarang mereka menunggu pembayaran semula tuntutan yang telah dibelanjakan,” katanya.

Sebelum ini, Wan Azizah dilaporkan memberi kelonggaran supaya kesemua lantikan politik berkenaan meletak jawatan masing-masing menjelang akhir Julai selepas kedua-dua parti itu memutuskan kerjasama politik di antara mereka pada Mei lalu.

Kelonggaran diberikan itu telah pun berakhir pada 31 Julai lalu, namun masih belum ada mana-mana wakil parti itu menyerahkan surat peletakan jawatan mereka.

Bagaimanapun Kerajaan PAS Kelantan memaklumkan akan terus memberi ruang kepada lantikan politik PKR di negeri itu memegang jawatan masing-masing sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini.

Pada 16 Mei lalu, Biro Politik PKR memutuskan supaya semua lantikan politik PKR dalam Kerajaan PAS Kelantan dilepaskan berkuatkuasa serta-merta.

Sementara itu, kerajaan PAS Kelantan menafikan dakwaan kononnya mereka tidak memberi peruntukan kepada ahli PKR yang memegang jawatan dalam kerajaan sehingga memaksa sukar melepaskan jawatan.

Setiausaha politik Menteri Besar, Wan Roslan Wan Hamat berkata, peruntukan untuk DUN dan elaun penyelia hanya diberi selepas mereka mengesahkan surat tawaran pelantikan daripada kerajaan negeri.

Katanya, tidak berbangkit ada penyelia daripada PKR yang terpaksa menggunakan wang sendiri untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan mereka wakili.

“Ahli PKR yang menerima surat pelantikan daripada kerajaan negeri, dia layak menerima peruntukan DUN dan setakat ini tidak ada wakil PKR tidak dapat, malah peruntukan itu disalurkan terus melalui pejabat tanah.

“Walaupun Kelantan miskin kita bayar juga pada mereka, malah setiap tahun penyelia DUN dari PKR mendapat peruntukan sebanyak RM200,000, cuma mereka yang tidak tandatangan surat pelantikan, macam mana kita nak bayar?” katanya memetik laporan sebuah portal berita online hari ini. – 9 Ogos 2017.